Santuni dua golongan ini…
Islam
adalah agama yang amat mengutamakan kesaksamaan, kebajikan dan
keadilan. Buktinya, sebelum Islam datang pada zaman Jahiliyah dahulu,
taraf wanita sangat rendah. Maka, setelah Islam datang, wanita diangkat
mejadi suri kepada lelaki dan Allah SWT mengangkat darjat mereka
sehinggakan ada ungkapan yang menyatakan, bahawa syurga itu berada di
bawah tapak kaki ibu. Sungguh pun ulamak hadis menganggap ungkapan ini
bukanlah hadis yang sahih (ada yang menyatakannya sebagai hadis mungkar,
dhaif dan maudhu’); namun konotasinya tidak bercanggah dengan
hadis-hadis lain yang menggesa ketaatan kepada ibu dan bapa.
Begitu juga, sebelum Islam datang maka
keadaan umat manusia adalah terlalu naïf jika mereka seorang yang daif.
Jurang antara bangsawan dan golongan bawahan amat ketara, bahkan
perhambaan sesama manusia begitu berleluasa. Maka, setelah Islam datang
maka hadirlah konsep hidup sebagai rumpun yang tidak menindas sesama
manusia bahkan Islam mewajibkan bertolong-bantu sebagai sendi yang
mengukuhkan masyarakat. Seorang tuan sekali pun adalah berdosa jika dia
menganiayai hamba miliknya dan pemerintah berhak mengadilinya jika dia
menzalimi hamba sahayanya.
Itulah ajaran Islam. Konsep keadilan
menjadi teras dalam hidup bermasyarakat. Kaya atau miskin, mereka
disatukan di bawah payung keadilan Islam. Tanpa mengambil kira ras,
keturunan dan status atau pangkat kebesaran, Islam menyatukan semuanya
di atas neraca keadilan. Allah SWT berfirman: “Dan demikian (pula) Kami
telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar
kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad)
menjadi saksi atas (perbuatan) kamu,” (al-Baqarah: 143)
Salah satu konsep keadilan ini adalah
dalam memastikan kebajikan mereka yang kurang bernasib baik ditangani
dengan penuh prihatin atau penuh
kecaknaan. Dalam konteks ini, tidak dapat dinafikan bahawa mereka yang kurang bernasib baik itu ialah anak-anak yatim dan juga
anak-anak fakir dan miskin.
Mengenai anak-anak yatim, Nabi Muhammad
SAW ada menyatakan: “Orang-orang yang bertanggungjawab menguruskan anak
yatim, baik daripada keluarga sendiri atau tidak, maka aku dan dia
seperti dua ini di syurga kelak (lalu baginda memberi isyarat dengan
merapatkan jari telunjuk dan jari tengah – ertinya berdekatan),” (Hadis
riwayat Bukhari daripada Abu Hurairah r.a).
Kemiskinan adalah virus yang membejatkan kehidupan…
Namun, pada hari ini kita mesti membuka
horizon fikiran kita bahawa di samping anak-anak yatim ini, anak-anak
fakir dan miskin juga mengalami nasib yang sama bahkan mungkin lebih
teruk lagi. Benar, anak-anak fakir dan miskin ini masih berayah atau
beribu, namun kehidupan mereka hakikatnya ada yang lebih sadis
berbanding anak-anak yatim, kerana kemiskinan adalah virus yang
membejatkan kehidupan. Berapa ramai manusia gelandangan di luar sana,
yang mudah terjebak ke dalam pelbagai kancah maksiat dan kezaliman
lantaran kefakiran dan kemiskinan yang membelenggui diri mereka.
Maka, sebab itulah Islam juga amat
menekankan kepentingan menyantuni orang-orang fakir dan miskin ini,
seperti mana yang pernah disarankan oleh Rasulullah SAW: “Sesiapa yang
menjalankan pemerintahan mengenai urusan umat Islam tanpa menghiraukan
kemiskinan, keperluan, kefakiran dan hajat mereka, nescaya Allah akan
membiarkannya pada hari kiamat tanpa menghiraukan kemiskinannya,
keperluannya, hajatnya dan kefakirannya,” (Hadis riwayat Abu Daud)
Kesimpulannya, Islam melebarkan dua
kepentingan yang amat wajar dijaga, iaitu orang-orang yang miskin dan
orang-orang yang kehilangan tempat pergantungan. Maka, jika dua kelompok
ini dapat ditangani dengan baik oleh kita, ia sebenarnya sudah menjadi
asas yang kukuh kepada pembentukan sebuah masyarakat dan negara yang
baik dan bernuansakan kebajikan dan keadilan yang dianjurkan oleh Islam,
sebagaimana yang pernah dilestarikan oleh para khalifah sejak ribuan
tahun dahulu, misalnya Umar bin Abdul Aziz r.a pada zaman Khilafah Bani
Umayyah dan juga Sultan Muhammad al-Fateh r.a di era Turki Uthmaniyyah.
Wallahua’lam
No comments:
Post a Comment