Sunday, May 29, 2011

Minda, Jasad dan Jiwa untuk menjadi kaya

Di negara kita, kita banyak memberi tumpuan kepada ustaz-ustaz untuk mencari makna kehidupan kita. Kita menjunjung ustaz-ustaz ini seolah-olah apa yang mereka katakan adalah sesuatu yang suci dan benar. (cikgu dan pensyarah juga)
Memang ada ustaz-ustaz yang bagus dan baik. Namun kebanyakan ustaz-ustaz adalah dari latar belakang orang miskin.
Pada zaman British, anak yang pandai akan dihantar ke sekolah Inggeris. Dan anak yang nakal, bodoh dan miskin akan dihantar ke sekolah-sekolah pondok. Supaya menjadi sekurang-kurangnya manusia dengan mendalami agama.
Jadi hasil daripada itu, lahirlah ustaz-ustaz yang mengajarkan kita tentang betapa cantiknya kemiskinan dan bertapa buruknya kekayaan. Mereka ini terpaksa melindungi kelemahan dan ego dalam diri dengan berkata begini. Dengan berkata begini, mereka sudah menjadi lebih tinggi dari semua profesional, peniaga dan pekerja yang ada dalam surau itu.
Bagaimana seseorang nak mengatakan sesuatu yang baik tentang kekayaan apabila dia sendiri hidup dalam kemiskinan ? Untuk menyatakan kebenaran seperti ini adalah sangat pahit.
Namun mereka tidak sedar, agama kita ditindas hari ini kerana ekonomi. Orang Islam di dunia hidup sengsara kerana kita tidak berjaya menguasai ekonomi. Umat Islam dibunuh, gadis-gadis Islam dirogol, anak-anak Islam mati kelaparan dan Al-Quran dihinakan… ini semua kerana kita tidak menguasai ekonomi.
Sebelum kita pergi lebih jauh, mari kita bermula dengan apa yang ada dalam diri kita…..
Setiap dari kita dikurniakan Tuhan dengan minda, jasad dan jiwa. Sepanjang hidup manusia, kita membangunkan ketiga-tiga bahagian ini untuk mendapat kepuasan hidup.
Tidak ada yang lebih utama antara ketiga-tiga ini. Ketiga-tiga minda, jasad dan jiwa adalah sama pentingnya.
Manusia tidak boleh hidup sepenuhnya dengan hanya memberi tumpuan kepada pembangunan minda dengan mengabaikan jasad dan jiwa.
Manusia tidak boleh hidup sepenuhnya dengan hanya memberi tumpuan kepada pembangunan jiwa dan rohani dengan mengabaikan jasad dan minda.
Begitu jugalah, manusia tidak boleh hidup sepenuhnya dengan hanya memberi tumpuan untuk pembangunan fizikal dan jasad semata-mata.
Untuk membangunkan ketiga-tiga ini, manusia perlukan usaha, ilmu dan alat. Usaha, ilmu dan alat ini hanya dapat diperolehi jika kita mempunyai wang. Tanpa wang, kita tak mungkin dapat hidup sepenuhnya dengan minda, jasad dan jiwa.
Untuk menggunakan minda sepenuhnya, manusia perlukan buku untuk belajar, perlukan wang untuk melancong dan melihat kebesaran Tuhan, memerlukan teman-teman untuk berbincang.
Tanpa rekreasi minda ini, manusia akan merasa kelompongan dalam hidupnya.
Untuk menggunakan jasad dengan sepenuhnya, manusia perlukan makanan yang berkhasiat, pakaian yang selesa, tempat tinggal yang menenangkan. Selain itu, manusia juga perlukan rehat dan rekreasi fizikal seperti bermain golf, menunggang kuda atau berenang.
Tanpa penggunakan fizikal yang sepenuhnya, manusia akan merasa kelompongan dalam hidupnya.
Untuk menggunakan sepenuhnya jiwa, manusia perlukan kasih dan cinta. Kasih dan cinta ini datang daripada sifat memberi. Sebagai suami, kita perlu memberi sesuatu kepada isteri. Sebagai rakyat, kita perlu memberi sesuatu kepada negara. Sebagai manusia, kita perlu memberi sesuatu kepada manusia lain. Tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima. Tanpa kekayaan, tiada pemberian.
Tanpa menggunakan jiwa yang sepenuhnya, manusia akan mengalami kekosongan jiwa.
Untuk menggunakan sepenuhnya minda, kita perlukan wang. Untuk menggunakan jasad sepenuhnya kita perlukan wang dan untuk menggunakan jiwa sepenuhnya kita perlukan wang.
Jadi wang adalah perkara penting dalam hidup kita untuk kita hidup sepenuhnya di bumi Allah ini. Tanpa wang, kita akan merugikan kurniaan Tuhan dari segi minda, jasad dan jiwa.
Adalah sesuatu yang sangat normal untuk anda ingin menjadi kaya. Jika anda tak ingin menjadi kaya, anda adalah abnormal.
Jangan percaya kepada mana-mana cikgu, pensyarah atau ustaz yang mengajarkan kita tentang kecantikan kemiskinan. Maksud saya, bukanlah kita tolak mereka sepenuhnya, kita hanya tolak salah satu dari kepercayaan mereka. Kepercayaan mengenai kemiskinan dan kekayaan. Selain dari itu, kita perlukan ilmu-ilmu lain dari mereka.
Dan ajarkan ilmu ini kepada anak-anak anda dan orang dibawah anda. Ajar mereka bahawa kekayaan dan kasih sayang sebenarnya boleh hidup bersama dan pasti hidup bersama. Jangan terpengaruh dengan cerita Si Tanggang. Terdapat lebih ramai Si Tanggang yang pulang ke tanahair dan memberi ibunya makanan, pakaian dan tempat tinggal yang lebih baik. Lebih ramai Si Tanggang yang meningkatkan taraf hidup keluarga dan kampung kelahirannya. Cerita Si Tanggang asal adalah salah satu daripada banyak cerita dongeng yang membodohkan minda masyarakat Melayu.
Halakan minda anda kearah yang positif terhadap kekayaan kerana tanpa kekayaan, kita tak dapat hidup sepenuhnya dengan minda, jasad dan jiwa.

No comments: