Thursday, March 3, 2011

Santuni dua golongan ini…

Santuni dua golongan ini…

Islam adalah agama yang amat mengutamakan kesaksamaan, kebajikan dan keadilan. Buktinya, sebelum Islam datang pada zaman Jahiliyah dahulu, taraf wanita sangat rendah. Maka, setelah Islam datang, wanita diangkat mejadi suri kepada lelaki dan Allah SWT mengangkat darjat mereka sehinggakan ada ungkapan yang menyatakan, bahawa syurga itu berada di bawah tapak kaki ibu. Sungguh pun ulamak hadis menganggap ungkapan ini bukanlah hadis yang sahih (ada yang menyatakannya sebagai hadis mungkar, dhaif dan maudhu’); namun konotasinya tidak bercanggah dengan hadis-hadis lain yang menggesa ketaatan kepada ibu dan bapa.

Begitu juga, sebelum Islam datang maka keadaan umat manusia adalah terlalu naïf jika mereka seorang yang daif. Jurang antara bangsawan dan golongan bawahan amat ketara, bahkan perhambaan sesama manusia begitu berleluasa. Maka, setelah Islam datang maka hadirlah konsep hidup sebagai rumpun yang tidak menindas sesama manusia bahkan Islam mewajibkan bertolong-bantu sebagai sendi yang mengukuhkan masyarakat. Seorang tuan sekali pun adalah berdosa jika dia menganiayai hamba miliknya dan pemerintah berhak mengadilinya jika dia menzalimi hamba sahayanya.

Itulah ajaran Islam. Konsep keadilan menjadi teras dalam hidup bermasyarakat. Kaya atau miskin, mereka disatukan di bawah payung keadilan Islam. Tanpa mengambil kira ras, keturunan dan status atau pangkat kebesaran, Islam menyatukan semuanya di atas neraca keadilan. Allah SWT berfirman: “Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu,” (al-Baqarah: 143)
Salah satu konsep keadilan ini adalah dalam memastikan kebajikan mereka yang kurang bernasib baik ditangani dengan penuh prihatin atau penuh kecaknaan. Dalam konteks ini, tidak dapat dinafikan bahawa mereka yang kurang bernasib baik itu ialah anak-anak yatim dan juga anak-anak fakir dan miskin.

Mengenai anak-anak yatim, Nabi Muhammad SAW ada menyatakan: “Orang-orang yang bertanggungjawab menguruskan anak yatim, baik daripada keluarga sendiri atau tidak, maka aku dan dia seperti dua ini di syurga kelak (lalu baginda memberi isyarat dengan merapatkan jari telunjuk dan jari tengah – ertinya berdekatan),” (Hadis riwayat Bukhari daripada Abu Hurairah r.a).

 Kemiskinan adalah virus yang membejatkan kehidupan…
Namun, pada hari ini kita mesti membuka horizon fikiran kita bahawa di samping anak-anak yatim ini, anak-anak fakir dan miskin juga mengalami nasib yang sama bahkan mungkin lebih teruk lagi. Benar, anak-anak fakir dan miskin ini masih berayah atau beribu, namun kehidupan mereka hakikatnya ada yang lebih sadis berbanding anak-anak yatim, kerana kemiskinan adalah virus yang membejatkan kehidupan. Berapa ramai manusia gelandangan di luar sana, yang mudah terjebak ke dalam pelbagai kancah maksiat dan kezaliman lantaran kefakiran dan kemiskinan yang membelenggui diri mereka.

Maka, sebab itulah Islam juga amat menekankan kepentingan menyantuni orang-orang fakir dan miskin ini, seperti mana yang pernah disarankan oleh Rasulullah SAW: “Sesiapa yang menjalankan pemerintahan mengenai urusan umat Islam tanpa menghiraukan kemiskinan, keperluan, kefakiran dan hajat mereka, nescaya Allah akan membiarkannya pada hari kiamat tanpa menghiraukan kemiskinannya, keperluannya, hajatnya dan kefakirannya,” (Hadis riwayat Abu Daud)

Kesimpulannya, Islam melebarkan dua kepentingan yang amat wajar dijaga, iaitu orang-orang yang miskin dan orang-orang yang kehilangan tempat pergantungan. Maka, jika dua kelompok ini dapat ditangani dengan baik oleh kita, ia sebenarnya sudah menjadi asas yang kukuh kepada pembentukan sebuah masyarakat dan negara yang baik dan bernuansakan kebajikan dan keadilan yang dianjurkan oleh Islam, sebagaimana yang pernah dilestarikan oleh para khalifah sejak ribuan tahun dahulu, misalnya Umar bin Abdul Aziz r.a pada zaman Khilafah Bani Umayyah dan juga Sultan Muhammad al-Fateh r.a di era Turki Uthmaniyyah. Wallahua’lam

No comments: