Saturday, September 29, 2012

Golongan Biawak – Membinasakan Kejayaan Manusia


Dalam dunia ini, majoriti manusia gagal adalah mereka yang tergolong dalam golongan biawak, atau mereka yang berkawan dengan rakan-rakan yang termasuk dalam golongan biawak.
Golongan Biawak - Dr Azizan Osman
Biawak, apakah maksud yang disebalik nama binatang ini?
Biawak adalah gelaran yang dinyatakan oleh jurulatih kejayaan nombor satu Malaysia, iaitu Dr. Azizan Osman, untuk golongan manusia yang:
  • Suka menjatuhkan orang lain.
  • Suka menyalahkan orang lain.
  • Sering berasa tidak selesa apabila orang sekeliling ingin mengecapi kejayaan.
Biasanya dialog yang digunakan oleh golongan biawak ini adalah seperti berikut:
  • Apabila kita mempunyai impian, mereka akan berkata, “Engkau tidak payah berangan untuk mengecapi impian itu.”
  • Apabila kita mahu melakukan sesuatu, mereka akan berkata, “Engkau tidak akan boleh melakukannya.”
  • Apabila kita berazam untuk menjadi kaya, mereka akan berkata, “Engkau ditakdirkan untuk hidup sebagai orang miskin, bukan orang kaya.”
Dalam kehidupan seharian kita, golongan biawak ini ada di mana-mana sahaja. Ia boleh jadi rakan, saudara mara, malah termasuklah adik beradik dan ibu bapa kita.

Sedikit-sedikit, Lama-lama Jadi Biawak

Berkomunikasi bersama golongan-golongan biawak adalah satu tindakan yang berisiko. Ia adalah tindakan yang membawa kita ke kancah kegagalan hidup.
Sedangkan manusia yang tidak suka merokok boleh rasa ‘ingin mencuba’ apabila melepak dengan golongan perokok, sama juga realitinya jika ingin berjaya. Kita tidak boleh bergantung pada rakan-rakan yang memberikan input negatif.
Justeru itu, bagi yang benar-benar serius untuk mengubah kehidupan, mengelakkan diri daripada golongan biawak adalah satu tindakan yang wajib. Jika tidak, nescaya ia akan memusnahkan harapan kita untuk mencapai sesuatu yang bermakna dalam hidup.

Golongan Biawak – Cara Mengelakkan Diri

Terdapat beberapa cara mengelakkan diri daripada golongan biawak ini. Antaranya adalah:
  1. Sentiasa berusaha memilih kawan.
  2. Jangan tinggalkan biawak, cari lain.
  3. Fikirkan tentang masa depan sendiri.
#1 – Sentiasa Berusaha Memilih Kawan
Apabila hendak memilih rakan, ambil masa selama mungkin untuk mengenali diri mereka terlebih dahulu. Ketahui sama ada mereka ini bakal menyokong atau memusnahkan impian yang kita inginkan dalam hidup.
Analisis boleh dilakukan menerusi penceritaan tentang impian kita. Lihat reaksi dan tutur kata mereka. Sekiranya pandangan yang diberikan konstruktif, iaitu menyokong atau menambah baik daripada penceritaan asal, maka itu adalah golongan rakan yang sesuai.
Jika sebaliknya, maka…
#2 – Jangan Tinggalkan Biawak, Cari Lain
Perbuatan meninggalkan golongan biawak semata-mata tidak digalakkan. Ini kerana bukannya 100% salah mereka kerana tidak menyokong kita.
Kebanyakan golongan biawak lambat laut akan mendekatkan diri dan memberikan sokongan, apabila mereka melihat kejayaan-kejayaan kecil yang kita kecapi. Justeru itu, jangan tinggalkan tetapi teruskan pencarian untuk mencari mereka yang menyokong.
Mencari manusia yang menyokong kita adalah satu proses dan perjalanan yang panjang. Namun setiap pencarian itu berbaloi.
#3 – Fikirkan Tentang Masa Depan Sendiri
Jika kita terus bersama dengan golongan biawak, kita memilih untuk mengikut arus kehidupan orang lain. Dengan kata lain, kita membenarkan mereka untuk menetapkan hala tuju kehidupan kita.
Kepuasan hidup bermula dengan melakukan sesuatu berlandaskan apa yang kita mahu. Justeru itu, fikirkan tentang masa depan sendiri dan buat keputusan untuk tidak bersama dengan golongan biawak.

Kita Dicorakkan Oleh Kawan

Selain daripada ibu bapa dan guru, rakan-rakan di sekeliling juga adalah pencorak kehidupan kita. Berkawan dengan golongan yang berfikiran negatif dan destruktif akan membinasakan kehidupan kita.
Menyesal di kemudian hari mungkin tidak berguna lagi. Maka buat keputusan hari ini untuk memilih rakan-rakan yang berkualiti. Yakni mereka yang sentiasa memberikan sokongan untuk kita mencapai impian dalam hidup.
Nota: Golongan biawak ini tidak bermakna kita menganggap mereka seperti binatang. Ia cuma gelaran yang digunakan supaya manusia lebih mudah mengingati. Segala salah silap mohon dimaafkan.


Read more: http://aqifazizan.com/golongan-biawak-membinasakan-kejayaan-manusia#ixzz27uujacT7

No comments: