Sunday, June 5, 2011

Hidup moral dan sains untuk mencari Kebenaran

Ramai di antara kita pada hari ini cenderung untuk tidak membantah dengan pelbagai jenis pengetahuan terutama hasil penemuan-penemuan saintifik. Lagipun, siapa yang berani mempertikaikan ilmu sains? Siapa yang berani berdebat dengan para pakar? Terdapat orang yang berani untuk menentang namun jumlahnya amat sedikit serta dengan mudah pendapat mereka dipatahkan atau tidak diendahkan langsung.

Maka, di dalam hidup kita membiarkan kajian-kajian para pakar ini mengalahkan pemahaman moral atau lebih teruk lagi, kita membiarkan para pakar melabelkan moral sebagai sesuatu yang terlalu mudah atau tidak penting. Kebenaran adalah kebenaran, sains mempunyai kebenaran tetapi sains lebih berkuasa dari keprihatinan moral kita (kenyataan ini memperlihatkan kesempitan minda dan merupakan asas ketakutan untuk membantah sebarang dakwaan saintifik). Oleh itu, kita terbiasa dengan pendapat bahawa kita harus ambil peduli akan pendapat pakar sains apabila ia memperkatakan mengenai kebenaran.

Namun adakah kebenaran begitu mudah difahami? Dan siapa yang sebenarnya para pakar ini? Apa yang melayakkan seseorang itu menjadi pakar? Adakah dengan memiliki Ijazah Sarjana? Adakah seorang pakar itu merupakan seorang ibu yang berjaya membesarkan anak-anaknya? Seorang penyelidik yang disegani? Mempunyai kehidupan yang baik? Stabil dan beriman? Sesungguhnya, terdapat pelbagai jenis kepakaran. Selain itu, terdapat juga isu lain yang timbul iaitu ketulusan peribadi dan bagaimana ketulusan ini berkait rapat dengan “kepakaran”.

Kebenaran apakah yang dapat dilahirkan oleh seseorang pengkaji sains tetapi hidup moralnya adalah kurang sihat? Adakah kehidupan peribadi seorang lelaki atau wanita lelaki mempengaruhi penyelidikan dan kepakaran profesional mereka? Ramai pemikir-pemikir hebat — ahli-ahli falsafah, teologi dan sains — akan mengatakan bahawa hidup peribadi mereka mempengaruhi keputusan penyelidikan mereka. Kebenaran tidak akan dapat di pisahkan daripada pemahaman moral kerana kebenaran dan moral adalah bersatu di dalam asas kebenaran.

Tahap integriti seseorang penyelidik atau sarjana sememangnya sedikit sebanyak mempengaruhi keputusan kepakarannya meskipun ia tidak kelihatan pada luaran hasil penyelidikan tersebut. Bagaimana ini berlaku? Contohnya Aristotle. Beliau mempunyai konsep yang digelarnya sebagai phronesis yang menyatakan bahawa ajaran kebenaran adalah mustahil untuk dipisahkan dari amalan kemurnian.

Bagi Aristotle, pengetahuan asli, iaitu aspek utama menjadikan anda manusia yang lebih baik, tidak mampu dihasilkan oleh seseorang yang mempunyai kebijaksanaan teori tetapi mempunyai peribadi moral yang teruk. Bagi Albert Einstein pula, adalah mustahil untuk melakukan penyelidikan dengan memisahkan penyelidikan diri sendiri yang mendalam. Siapa diri kita dan apa sudut pandangan kita terhadap dunia realiti akan selalu membantu bagaimana kita melihat dunia serta menghasilkan apa sahaja teori mengenainya. Dan siapa diri kita dan sudut pandangan kita terhadap dunia realiti selalunya dipengaruhi oleh kehidupan moral kita sendiri.

Hidup moral kita mempengaruhi kuat penyelidikan kita kerana ianya membantu membentuk pandangan kita. Ahli mistik pada zaman pertengahan, Hugo St Victor, mempunyai satu pepatah mengenai ini: Cintakasih adalah mata! Bagi beliau, sebahagian besar pandangan hidup kita dibentuk oleh rasa kasih atau kekecewaan di dalam diri kita, pada bila-bila masa. Apabila saya melihat dunia dengan kasih, anda akan melihat keadaan belas kasihan; apabila saya melihat dunia dengan kekecewaan, saya akan melihat kesedihan. Kenyataan ini juga berkait rapat dengan semua penyelidik.

Memang diakui, ilmu matematik adalah di luar emosi namun apabila mengaplikasikan ilmu ini di dalam hidup kita, ia sebenarnya tidak terpisah daripada emosi kita. Akhirnya, ajaran yang paling penting iaitu Yesus di mana Dia mengajar kita untuk melihat dunia ini dengan jelas namun ini hanya dapat dilakukan melalui hati yang suci. Dia menyatakan bahawa kesucian hati bukan setakat untuk melihat sejujurnya mengenai hal-hal agama tetapi pra-syarat untuk melihat jelas di dalam semua cara, agama, moral, amalan dan sains adalah melalui ketulusan hati.

Apa yang kita lihat melalui sebuah mikroskop, sebahagiannya adalah dipengaruhi oleh perasaan kita mengenai hidup secara umum dan perasaan kita terhadap hidup secara umum ini pula adalah dipengaruhi hebat oleh amalan hidup moral kita. Dan, apakah pengajaran yang boleh kita peroleh di sini? Pengajaran di sini ialah bukan mengenai pendapat-pendapat yang kita dengar di dalam lingkungan fundamentalis agama di mana mereka menyeru kita untuk berhenti mengendahkan para saintis, akademik dan pakar-pakar teknologi serta menolak tanggapan mereka dengan menggunakan Kitab Suci. Ini tidak bermakna bahawa kita harus mempertahankan hasil-hasil penemuan kajian oleh pelbagai akademi profesional atau berhenti untuk mengkaji.

Namun, berikut adalah ajaranajaran yang harus kita terapkan: Pertama, hormati penemuan-penemuan dan penyelidikan asli sains meskipun anda tidak selalunya tertarik dengan sumber kajian tersebut. Semua kebenaran mempunyai seorang Pengarang iaitu Tuhan. Oleh itu, Tuhan adalah sumber pengetahuan dan Tuhan juga adalah sumber sains serta segala penemuannya. Terima kebenaran termasuklah kekurangannya tetapi kurangkan mengikuti ajaran-ajaran para pakar yang membantah kepakaran sains tanpa menyedari keterbatasan mereka, kelemahan pengadilan serta suka memihak kepada suatu pihak sahaja khususnya apabila kebenaran mereka menyentuh persoalan kesihatan, makna, moral dan kebahagiaan. Seorang penyelidik yang baik mengakui elemen-elemen penyelidikan diri sendiri iaitu merendahkan diri mengenai kebenaran.

Kemudian, ketahuilah bahawa kepakaran tersebut merupakan karisma luas yang terhasil dari pelbagai lingkungan. Terdapat ramai pakar sains tetapi terdapat juga pakar-pakar di dalam kebaikan, kasih, persahabatan, kemurahan hati, kesetiaan, harapan, rundingan keamanan, keberanian, doa, kejujuran, kesucian, estetik, amalan kewarasan dan lawak jenaka. Lihatlah langit yang luas dengan teliti jika mencari bintang-bintang yang dapat memimpin jalan hidupmu. Jangan hanya melihat melalui sudut yang sempit. Terdapat banyak bintang, dan setiap satunya mempunyai kepakaran di dalam memancarkan cahayanya. — Fr Ron Rolheiser

No comments: