Sunday, June 5, 2011

PEMIKIRAN KEWANGAN IMAM AL-GHAZALI

Nama Al-Ghazali terpahat dalam deretan tokoh pemikir ekonomi Islam fasa kedua bersama-sama dengan Ibn Taimiyah, Ibn Khaldun dan tokoh lainnya. Pada fasa ini pemikiran ekonomi Islam telah berkembang secara intensif sertai ditandai dengan perubahan dalam struktur kekuasaan Islam yang semakin luas. Corak pemikiran ekonomi Islam pada masa ini menjurus kepada analis ekonomi mikro dan fungsi wang ( SADEQ,ABDULHASAN M. AND GHAZALI, READINGS IN ISLAMIC ECONOMIC THOUGHT )

Imam Al-Ghazali dilahirkan di Tus yang terletak di wilayah Khurasan negara Parsi ( hari ini ia terletak di bahagian utara negara Iran ) pada tahun 450H/1058M. Sewaktu di Tus dan Nishapur, pengajian beliau lebih tertumpu kepada fikah dan syariah, dan kemudian beliau mula mengembara dan berguru ke serata pelosok dunia Islam seperti Baghdad, Damsyik, Jerusalem, Kaherah, Iskandariah, Mekah dan Madinah.

Guru kepada Imam Al-Ghazali yang paling terkenal ialah Imam al-Haramain al-Juwaini yang dianggap sebagai ulama paling terkemuka dalam dunia Islam waktu itu. Imam al-Ghazali juga merupakan waris dan anak murid beliau yang paling hebat dan cerdas, malah dikatakan juga kehebatan Imam al-Ghazali telah pun mengatasi gurunya yang sangat mashyur itu.

Kitab-kitab yang ditulis oleh beliau adalah sangat banyak sekali dan telah dianggarkan melebihi 200 buah. Namun, yang masih kekal sehingga hari ini hanyalah lebih kurang 50 buah sahaja. Kebanyakan daripada kitab-kitab ini telah ditulis dalam bahasa Arab dan ada juga yang ditulis dalam bahasa Parsi. Dalam dunia Islam pula, golongan awam mengenali beliau melalui kitab tasawufnya seperti Ihya Ulumuddin dan Ayyuhai Walad al-Muahid ( Wahai Anakku Sayang ).

Kitab Ihya’ulumuddin membuka dimensi baru metodologi penulisan fikah dan tasawuf, kombinasi yang membawa faedah besar dalam kehidupan seharian manusia. Berkaitan muamalat, beliau bukan sahaja mengkhususkan berkaitan teori jual-beli dan untung, bahkan beliau menulis berkaitan dengan keperluan kaum muslimin yang perlu dipenuhi dengan tuntutan fardu kifayah. Juga nasihat kepada pembekal dan pembeli ketika melaksanakan urusan muamalat.

Beberapa pendapat Imam al-Ghazali:

• Manusia tidak akan mengumpul harta melainkan untuk tiga tujuan berikut iaitu simpanan untuk anak-anak, mengekalkan pemerintahan/kuasa, dan mendapatkan tempat/kuasa yang lebih tinggi
• Salah satu perbezaan tanda-tanda orang mukmin berbanding orang munafik ialah orang mukmin mengorbankan hartanya demi agama manakala orang munafik pula sanggup mengorbankan agama demi memperoleh harta.
• Manusia itu perlu kepada mata wang bagi memudahkan urusan mereka. Sebagai contoh orang yang ingin membeli makanan sedang mereka memiliki kasut, maka menjadi sesuatu yang sukar untuk menilai kadar makanan yang bagaimana sesuai bagi sepasang kasut. Seterusnya keperluan manusia yang pelbagai dan hajat mereka kepada mata wang itu sendiri dapat mewujudkan peluang-peluang pekerjaan bagi manusia yang lain.
• Apabila adanya mata wang, maka perlu diwujudkan satu pusat bagi menguruskan mata wang tersebut. Begitu juga perlu diwujudkan pusat-pusat tukaran mata wang.

Sekiranya beliau masih ada pada zaman kini, kecanggihan ilmu teknologi, komunikasi dan pemprosesan maklumat tanpa sempadan kini pasti akan diekplotasikan. Beliau mampu menulis lebih banyak buku hasil gabungan pengajian Islam dengan bidang-bidang lain seperti ekonomi, social, politik, hubungan antarabangsa, geografi, sains dan lain-lain bidang.

Ini dapat dibuktikan dalam setiap ilmu yang diceburinya sentiasa ada pemikiran baru yang bersifat pembaharuan atau pengembangan konsep yan dikemukakan oleh ilmuan terdahulu sebelumnya.

No comments: